• Tel : + 606 2311 822

  • Fax : + 606 2311 307

  • melayu       english

PERUTUSAN PENGURUS BESAR

YBHG DATUK HJ. ZAINI BIN MD. NOR
PENGURUS BESAR YAYASAN MELAKA

Assalamualaikum, Salam Kegemilangan dan Salam 1 Malaysia.

Terima kasih kerana melayari laman web Yayasan Melaka. Semoga informasi terkini Yayasan Melaka dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Yayasan Melaka merupakan sebuah agensi di bawah Kerajaan Negeri Melaka yang membantu hasrat Kerajaan Negeri untuk membangunkan Negeri Melaka dengan merangka dan menjalankan beberapa projek pembangunan bagi mencapai aspirasi tersebut seiring dengan cogan Melaka Maju Fasa ke Dua.

Warga Yayasan Melaka adalah disarankan untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran baru agar berupaya menyumbang berteraskan kepada kreativiti dan inovasi dalam menghasilkan perkhidmatan serta produk yang berprestij tinggi dengan bertunjangkan integriti serta kebertanggungjawab.

Yayasan Melaka kini beroperasi di Taman Bukit Katil Damai 2 secara sementara sehingga bangunan baru Yayasan Melaka setinggi 25 tingkat bernilai 123 juta yang terletak di Jalan Hang Tuah, bandar Melaka bersebelahan dengan Bangunan Graha Maju dijangka siap dibina dalam masa 2 1/2 tahun

Kini Yayasan Melaka menumpukan kepada pelbagai aktiviti seperti Pertanian dan Perladangan, Pembangunan dan penjualan Hartanah, Pendidikan, Sewaan Bangunan, pembangunan usahasama bagi menjana kewangan Yayasan Melaka dan lain-lain projek berkaitan dengan objektif Yayasan Melaka yang boleh menyumbang kepada peningkatan ekonomi agensi bagi menampung kos pengoperasian dan sumbangan tahunan Yayasan Melaka terhadap Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka, program biasiswa pelajar cemerlang dan bantuan pekerjaan kepada warga miskin tanggungan jabatan.

Bagi projek pembangunan hartanah, Yayasan Melaka berpengalaman dalam membangunkan beberapa projek taman perumahan seperti Taman Bertam Jaya, Taman Seri Duyong, Taman Bertam Perdana, Taman Bachang Utama, Taman Mawar Jaya, Taman Tanjung Minyak dan Taman Pandan Malim.

Pelaksanaan projek dalam sektor pendidikan, Yayasan Melaka telah membuat pelaburan dengan mewujudkan dua (2) buah kolej swasta iaitu Melaka International College of Science & Technology (MICOST) dan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KYM). MICOST menawarkan pelbagai program pendidikan di dalam bidang Perubatan dan Farmasi. Selain itu, Yayasan Melaka turut serta melabur dalam Kolej Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Selain itu, aktiviti mempromosikan produk baru Yayasan Melaka iaitu Rumah dan Dewan Citra kasih giat dijalankan untuk sewaan bagi penginapan (homestay) yang bercirikan tradisional dan bersesuaian juga untuk mengadakan majlis seperti Majlis Kenduri Perkahwinan, Hari Keluarga / Majlis Pertemuan Ahli-ahli keluarga, Majlis Keramaian, Majlis Makan Malam dan sebagainya. Rumah Citra Kasih merupakan sebuah rumah yang bercirikan tradisional yang dibina untuk mengembalikan nostalgia perantau pulang ke desa dan mengeratkan hubungan kasih sayang serta memupuk semangat kekeluargaan. Yang pastinya akan mengingatkan kembali kenangan-kenagan manis yang pernah dilalui satu ketika dahulu bersama sanak saudara.

Yayasan Melaka turut menyediakan kemudahan penginapan apartment pelajar bertempat di Jalan Tun Ali, Melaka yang terdiri daripada 4 blok (Blok A: 134 unit, Blok B: 133 unit, Blok C:132 unit, Blok D:165 unit) yang boleh menampung keseluruhan penyewa seramai 5640 pelajar di mana seunit rumah di setiap blok boleh memuatkan maksima 10 orang penyewa. Selain kelengkapan bilik tidur dan ruang belajar, pelbagai kemudahan lain disediakan seperti surau, kemudahan sukan dan riadah. Dobi layan diri yang beroperasi 24 jam, medan selera, kawalan keselamatan dan pemantauan CCTV selama 24 jam. Yayasan Melaka juga menyewakan 3 Blok Rumah Pangsa yang mempunyai kapasiti 280 unit rumah untuk disewakan dan ianya terletak di Taman Bertam Perdana, Pulau Gadong, Melaka.

Harapan menggunung saya, Yayasan Melaka akan terus kekal relevan di persada global transformasi penyampaian perkhidmatan awam. Akhir kata, saya berharap semoga Yayasan Melaka akan menjadi agensi yang cemerlang, gemilang dan terbilang bagi merealisasikan hasrat kepimpinan Negeri Melaka khasnya dan Negara Malaysia amnya.

Sekian, Terima Kasih.